Keputusan pilihan raya tidak jejas ekonomi negara

Oleh Daliza Ariffin

Meskipun sudah hampir tiga minggu Pilihan Raya Umum Ke-12 berlalu yang menyaksikan kemenangan tipis Barisan Nasional (BN), namun ramai pihak masih terasa akan kejutannya, termasuk di kalangan pelabur, yang masih keliru tentang hala tuju ekonomi negara.

Impak paling ketara daripada keputusan pilihan raya umum itu ialah apabila pasaran saham tempatan merudum pada 10 Mac lalu.

Pasaran saham tempatan menjunam lebih daripada 100 mata dengan penanda aras utama Bursa Malaysia – Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) turun 123.11 mata atau 9.50 peratus untuk ditutup pada 1,173.22 mata, paras terendah dalam tempoh 12 bulan sejak bulan Mac 2007.

Kejatuhan teruk pasaran itu juga telah menyebabkan pengendali pasaran saham tempatan iaitu Bursa Malaysia Securities terpaksa melaksanakan langkah Penampan Kejatuhan atau ‘Circuit Breaker’ iaitu menghentikan sementara urus niaga selama sejam pada sesi petang.

Ini merupakan kali pertama Bursa Malaysia melaksanakan langkah ‘Penampan Kejatuhan’ sejak peraturan itu diperkenalkan 10 tahun lalu. Namun, pasaran saham tempatan kembali pulih selepas pengumuman pembentukan barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa lalu.

Abdullah semasa bercakap pada sidang akhbar bagi mengumumkan barisan Kabinetnya itu berkata, banyak pihak mengakui dasar ekonomi dan projek-projek yang dirancang oleh kerajaan sebelum ini merupakan projek-projek yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, tetapi maklumat balas yang beliau terima mendapati mereka mahu kerajaan lebih serius memberi tumpuan kepada pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Abdullah berjanji bahawa kerajaan pimpinannya akan memberi fokus kepada pelaksanaan semua projek yang telah dirancang itu, termasuk meneruskan projek- projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Penganalisis ekonomi menyifatkan fenomena jualan mengejut oleh pelabur dalam pasaran saham selepas pilihan raya umum lalu, ekoran kejutan ‘tsunami politik’ itu di negara ini sebagai tindakan drastik pelabur berikutan keputusan mengejut pilihan raya umum, tetapi menganggapnya bersifat jangka pendek.

Faktor tersebut turut disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Kuwait Finance House (KFH) yang menjangkakan prestasi indeks IKKL akan terus kukuh pada paras 1,500 mata menjelang akhir tahun ini.

‘‘Kami tidak menjangkakan sebarang perubahan dalam polisi makro ekonomi semasa seperti polisi fiskal dan kewangan, walaupun BN terus mendapat mandat untuk menerajui kerajaan dengan memiliki majoriti yang kurang,’’ katanya.

Kajian KFH itu juga berpendapat, pertumbuhan ekonomi negara juga dijangka kukuh dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.7 peratus pada tahun 2008.

Bagaimanapun, menurutnya, projek dalam Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak dijangka dikaji semula oleh parti pembangkang yang telah berjaya menawan tiga negeri tersebut kecuali Perlis pada pilihan raya, baru-baru ini.

‘‘Projek lain yang turut menerima nasib yang sama ialah Jambatan Kedua Pulau Pinang, Penang Global City Centre, projek landasan kereta api berkembar, projek monorel di Pulau Pinang dan Pusat Pengangkutan Pulau Pinang,’’ jelasnya.

Namun KFH yakin projek-projek infrastruktur di bawah RMK-9 seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Koridor Ekonomi Wilayah Timur, Koridor Ekonomi Sabah dan Koridor Ekonomi Sarawak pula akan diteruskan mengikut perancangan sebelumnya.

Selain itu, fundamental ekonomi negara dijangka terus kukuh ditunjangi oleh projek- projek infrastruktur di bawah RMK-9, yang telah mula digerakkan serta nilai ringgit yang terus mengukuh berbanding mata wang asing termasuk dolar AS.

********************************************************************************

Pasaran saham domestik secara tidak langsung mempengaruhi sedikit sektor unit trust yg profile dananya dalam Malaysia. Tetapi, strategi CIMB WA adalah untuk membuat pelaburan dalam jangka masa panjang dan juga menggunakan konsep RINGGIT COST AVERAGING.

Leave a Reply